|
|
| BERITA: DOMAIN DAN HOSTING DARULBAYAN |
|
darulbayan dalam proses upgrade
menggunakan domain dan hosting sendiri.Start hari ini tidak akan ada
sebarang update.. dan site ini akan beransur2 ditutup..pada semua
pengunjung.. sila register di site baru.. walaupun ia masih dalam pembinaan anda sudah boleh mendaftar di :
|
|
|
|
|
|
| BERITA: Duta Besar suraikan 1,000 aktivis, demonstrasi anti-Malaysia |
|
JAKARTA 29 Nov — Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Zainal Abidin Mohamed Zain memerlukan hanya tiga minit untuk menyuraikan demonstrasi anti-Malaysia, yang sebelum itu berkobar-kobar dan kononnya akan berlangsung satu tindakan nekat di hadapan kedutaan di sini pagi ini.
Lebih 1,000 pendemonstrasi anti-Malaysia daripada kalangan aktivis kebudayaan Reog Ponorogo, yang diapi-apikan semangat anti-Malaysia oleh pelbagai laporan media massa yang menuduh Malaysia telah mengambil dan mengakui berhak terhadap kesenian itu, akhirnya menyuraikan diri selepas mendengar penjelasan itu.
“Saya jelaskan di sini bahawa kerajaan Malaysia tidak pernah mengakui tarian Reog itu berasal dari Malaysia walaupun tarian itu ada di Johor dan Selangor, katanya dengan menggunakan alat pembesar suara.
Kira-kira 150 tahun lalu, rakyat dari Indonesia yang berhijrah ke Malaysia membawa kebudayaannya dan ia dipraktikkan oleh anak cucu mereka di sana sehingga hari ini, katanya dari atas pentas yang berupa sebuah kenderaan yang digunakan oleh pemimpin demonstrasi itu.
Setelah penjelasan yang menggunakan hanya kira-kira 50 patah perkataan sahaja itu, Zainal Abidin terus turun dari pentas itu dan kembali meneruskan tugas di pejabatnya, meninggalkan para pendemonstrasi itu terdiam seperti terpukau.
|
|
|
|
|
|
| BERITA: Kadar tol 4 lebuh raya termasuk PLUS tidak naik tahun depan |
|
 KUALA LUMPUR 28 Nov. - Kabinet hari ini bersetuju untuk tidak
menaikkan kadar tol bagi empat buah lebuh raya termasuk Lebuhraya Utara
Selatan (PLUS) dan Jambatan Pulau Pinang.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, pengumuman
tersebut dibuat setelah Kabinet bermesyuarat hari ini dan ia hanyalah
untuk tempoh setahun iaitu pada tahun 2008 sahaja.
``Lebuh raya lain yang terlibat adalah Lebuh Raya Bertingkat
Ampang-Ulu Klang (PROLINTAS), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat
(SPRINT) Kerinchi dan Damansara Link,’’ katanya pada sidang akhbar di
pejabatnya di sini, hari ini.
Ekoran langkah tidak menaikkan tol itu, kata Samy Vellu, kerajaan
terpaksa membayar pampasan kepada PLUS sebanyak RM145 juta, Jambatan
Pulau Pinang sebanyak RM39 juta, SPRINT RM32 juta dan PROLINTAS
sebanyak RM26 juta.
Kerajaan juga katanya, perlu membayar pampasan sebanyak RM75 juta
bagi tahun 2008 kepada Syarikat Konsesi Lebuhraya Damansara-Puchong
kerana mengurangkan kadar tol daripada RM2.10 kepada RM1.60.
|
|
|
|
|
|
| BERITA: Pelakon, pengarah Hussein Abu Hassan meninggal |
|
 KUALA LUMPUR 26 Nov. - Pelakon dan pengarah veteran terkenal,
Hussein Abu Hassan, 70, meninggal dunia awal hari ini di Hospital Kuala
Lumpur kerana penyakit buah pinggang dan beberapa komplikasi penyakit
lain.
Anak bongsunya yang juga pelakon terkenal, Faizal berkata, beliau
menerima panggilan daripada pihak hospital pukul 5.30 pagi ini yang
memaklumkan bapanya berada dalam keadaan kritikal.
“Ketika saya dan semua ahli keluarga tiba di hospital kira-kira
pukul 6.15 pagi, doktor sedang memberikan bantuan CPR (penafasan)
kerana jantung bapa telah terhenti sejak pukul 5.30 pagi lagi,” katanya
di sini.
Beliau berkata, apabila bapanya disahkan meninggal dunia, semua
ahli keluarga termasuk ibunya, pelakon Mahyon Ismail berada di sini
arwah.
Jenazah bapanya dibawa balik ke rumah mereka di Taman Gombak Setia
untuk dimandi dan dikapankan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan
Taman Ibu Kota, Setapak selepas Zuhur ini, katanya.
Faizal berkata, pada malam tadi, beliau bersama isterinya, Suhaila
Sulaiman serta anak sulung mereka pergi melawat Hussein di hospital,
dan arwah kelihatan ceria serta boleh bergurau dengan cucunya itu.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Penyokong Hindraf ingkari perintah mahkamah, teruskan perhimpunan |
|
 KUALA LUMPUR 25 Nov — Para penyokong Hindu Rights Action Force
(Hindraf) hari ini mengingkari perintah mahkamah dengan mengadakan
perhimpunan di persimpangan antara Jalan Ampang dan Jalan Tun Razak
awal hari ini.
Beribu-ribu penyokong kumpulan itu berhimpun sejak 6.30 pagi
berhampiran kompleks membeli-belah Plaza City Square untuk berarak ke
Suruhanjaya Tinggi British di Jalan Ampang, kira-kira 100 meter dari
situ, bagi menyerahkan petisyen mengenai dakwaan kononnya masyarakat
India di negara ini dipinggirkan.
Beberapa jalan yang menghala ke tempat perhimpunan itu ditutup.
Pada Khamis, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan perintah
melarang lima pemimpin Hindraf dan penyokong mereka daripada
menganjurkan atau menyertai perhimpunan hari ini di ibu kota.
Kelima-lima mereka ialah P. Uthayakumar, adik lelakinya Waythamoorthy, M. Manoharan, V.S. Ganapathi Rao dan R. Kengadharan.
Polis tidak memberikan kebenaran bagi mengadakan perhimpunan itu kerana bimbangkan keselamatan awam.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Tindakan tegas terhadap pihak hasut sertai perhimpunan haram esok |
|
 KUANTAN 24 Nov — Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana
pihak yang menghasut orang ramai termasuk melalui khidmat pesanan
ringkas (SMS) bagi menyertai perhimpunan yang dijadual diadakan di
depan bangunan Suruhanjaya Tinggi Britian di Kuala Lumpur, esok.
Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow juga
menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan anjuran
Hindu Rights Action Force (Hindraf) itu kerana kerajaan telah
memberikan nasihat dan amaran.
“Jangan cuba melanggari undang-undang, kalau mereka masih nak
jayakan perhimpunan ini, maka polis kena menjalankan tugas,” katanya
kepada pemberita selepas melawat Pusat Khidmat Masyarakat Dewan
Undangan Negeri Tanjung Lumpur di sini hari ini.
Beliau mengulas rancangan Hindraf untuk mengadakan perhimpunan di
depan Suruhanjaya Tinggi Britian di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada
Ahad untuk menyerahkan petisyen yang mengandungi 100,000 tandatangan
kepada Ratu Elizabeth II.
Ketika ditanya sama ada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan
dikenakan terhadap pihak yang terlibat dalam perhimpunan itu, Fu
berkata, akta itu hanya akan digunakan sebagai jalan terakhir.
Kerajaan tidak menggunakan akta tersebut sewenang-wenangnya kecuali
sesuatu tindakan itu menganggu-gugat keselamatan negara, katanya.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Pemimpin Hindraf dituduh menghasut selepas siasatan rapi - Abdullah |
|
 KAMPALA 24 Nov — Polis telah memantau aktiviti tiga pemimpin Hindu
Rights Action Force (Hindraf) bagi tempoh tertentu sebelum menghadapkan
mereka ke mahkamah semalam mengikut Akta Hasutan, kata Perdana Menteri,
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.
“Mereka dianggap telah melakukan perkara yang melanggar Akta
Hasutan dan kita perlu mengambil tindakan...ia bukan kerana mereka
merancang mengadakan perhimpunan di depan Suruhanjaya Tinggi Britian
(esok),” katanya.
Perdana Menteri berkata, beliau dimaklumkan bahawa polis telah
memantau aktiviti mereka termasuk merekodkan ucapan dan kenyataan
mereka untuk tempoh yang agak lama.
Abdullah, yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri berkata
demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat hari pertama
Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di sini.
Pemimpin Hindraf berkenaan P. Uthayakumar, adiknya, Waythamoorthy,
dan V.S. Ganapathi Rao dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang mengikut
Akta Hasutan.
Ketiga-tiga mereka dituduh melafazkan perkataan berunsur hasutan semasa berucap di Batang Berjuntai pada 16 November.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Jangan terima memorandum demonstrasi jalanan |
|
 PUTRAJAYA 23 Nov. – Pergerakan Pemuda UMNO menggesa jabatan dan
agensi kerajaan supaya tidak menerima memorandum yang dihantar oleh
kumpulan tertentu melalui kaedah-kaedah yang boleh menjejaskan
kestabilan negara.
Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, adalah tidak
salah sekiranya memorandum itu dihantar kepada jabatan dan agensi
kerajaan, namun ia perlu dilakukan dengan cara serta kaedah yang betul
bukan melalui demonstrasi jalanan dan perhimpunan.
‘‘Jika berterusan begini, dalam keadaan kita bertolak-ansur dan telus, ini perlu dihentikan.
‘‘Di mana kita hendak letakkan had, kita mahu bertolak-ansur dalam
erti kata tidak mengapa, kita mahu suara anda didengari tetapi jika ia
membawa kepada demonstrasi jalanan dan menjejaskan imej Malaysia di
luar negara, saya fikir kita tidak perlu terima (memorandum),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Anugerah
Sekolah Cemerlang dan Anugerah Kualiti Kementerian Pelajaran, di sini,
hari ini.
Hishammuddin mengulas mengenai perhimpunan Hindu Rights Action Force
(Hindraf) yang dirancang diadakan di depan pejabat Suruhanjaya Tinggi
British, Kuala Lumpur, Ahad ini.
Menurut beliau, penyerahan memorandum perlu dilakukan dengan cara
yang betul dan tidak menyentuh mengenai isu agama atau perkauman.
Katanya, jika dengan menyerahkan memorandum itu akan menjejaskan
kestabilan negara maka beliau merasakan kumpulan itu tidak jujur dalam
menyuarakan kebimbangan mereka.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Hindari himpunan Hindraf -- * Polis peroleh perintah mahkamah * Tiga peguam dita |
|
 KUALA LUMPUR 23 Nov. – Polis memperoleh perintah mahkamah untuk
melarang orang ramai daripada hadir, berkumpul atau mengambil bahagian
dalam perhimpunan yang dijadual diadakan di depan bangunan Suruhanjaya
Tinggi British, Jalan Ampang di sini Ahad ini.
Perintah di bawah Seksyen 98 Kanun Tatacara Jenayah itu diperoleh
daripada Mahkamah Majistret Kuala Lumpur oleh Ketua Polis Daerah
Cheras, Asisten Komisioner (ACP) Amir Mohd. Hashim petang semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, polis turut menahan tiga orang peguam
termasuk Pengerusi Hindu Rights Action Force (Hindraf), P. Waytha
Moorthy tengah hari ini di bawah Akta Hasutan 1948 kerana dipercayai
terlibat memberi ceramah berbaur hasutan kepada orang ramai di Kuala
Selangor, Selangor baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar memberitahu, perintah
mahkamah itu diperoleh polis secara ex-parte iaitu dengan segera kerana
kesuntukan masa memandangkan perhimpunan anjuran Hindraf itu dijangka
diadakan pada 25 November ini.
‘‘Perintah ini bertujuan menghalang perbuatan yang boleh mengganggu
ketenteraman awam atau mendatangkan bahaya kepada nyawa, keselamatan
manusia seperti rusuhan atau pergaduhan sekiranya perhimpunan itu
diadakan,’’ katanya.
|
|
|
|
|
|
| BERITA: Himpunan 10 November:VCD '100,000 sahut cabaran PM' laris! |
|
KUALA LUMPUR, 23 Nov (Hrkh) - Walaupun sudah lebih seminggu berlalu, namun
cerita dan cakap-cakap tentang himpunan rakyat 10 November masih menjadi kedengaran
dan bualan umum termasuk di luar negara malah apa jua produk yang berkaitan, juga
turut mendapat perhatian.
Terbaru, dilaporkan VCD '100,000 sahut cabaran PM' yang memaparkan rakaman
perhimpunan aman tempoh hari telah dijual dengan laris sekali di antara harga
RM5.00-10.00 laksana 'pisang goreng panas' di pelbagai premis perniagaan tertutama di
pasar malam.
Tinjauan mendapati di pasar malam Keramat AU2 semalam,orang ramai mengerumuni
sebuah tapak niaga yang menayangkan secara percuma VCD tersebut bagi tujuan promosi
dan rata-ratanya terdiri daripada mereka yang turut menghadiri himpunan tersebut
termasuk yang tidak berpeluang menyertainya.
Dalam pada itu beberapa orang turut 'menganalisis' dan memberi respon bagaimana
media di negara ini telah mengaburi dan menyembunyikan fakta daripada rakyat dengan
menyatakan jumlah yang hadir hanya sekitar 4,000 sahaja sedangkan VCD tersebut
menayangkan sebaliknya.
|
|
|
|
|
|
| BERITA: Saintis UPM temui bahan ganti petrol, diesel |
|
 SERDANG 23 Nov — Seorang saintis Universiti Putra Malaysia (UPM)
berjaya menemui bahan api alternatif daripada biji buah `Egusi Melon’
yang berpotensi menghasilkan minyak petrol dan diesel.
Ketua Makmal Kajian Tenaga (AREL) dari Institut Tenaga Maju UPM,
Prof Madya Dr Nor Mariah Adam yang membuat penemuan itu berkata, bahan
tenaga itu menggunakan minyak yang dihasilkan daripada biji buah egusi
yang berasal dari Afrika.
Katanya, penemuan kali pertama di dunia itu dijangka dapat
mengurangkan kos petrol sebanyak 20 peratus dan diesel 10 peratus,
malah jurangnya lebih ketara jika harga bahan api tersebut meningkat.
“Minyak ini berpotensi untuk dijadikan minyak petrol dan diesel
kerana sifatnya lebih ringan, proses penuaian minyak mudah dan ekonomik
berbanding minyak sawit dan jathropa yang telah dijadikan bio-diesel,”
katanya ketika menunjukkan hasil kajiannya kepada Bernama.
Beliau berkata, kajiannya mendapati lemak tepu dalam minyak egusi
adalah rendah, selain bersifat mudah cair dan boleh meningkatkan
pembakaran.
Katanya, sebelum minyak tersebut dijadikan petrol dan diesel,
minyak itu perlu dicampur dengan beberapa pemangkin yang sesuai untuk
mendapatkan stabilitinya.
Beliau berkata, potensi kajiannya mempunyai masa depan yang cerah
kerana spesies tanaman melon mudah ditanam di negara ini dan boleh
mencapai tahap kematangan dalam tempoh tiga bulan.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Industri aeroangkasa terima pelaburan RM1.66 bilion |
|


|
Najib Tun Razak
bertanyakan sesuatu kepada Neil McManus (kanan sekali) mengenai projek
pembinaan kemudahan kilang pembuatan komponen aeroangkasa sambil
diperhatikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Britian, Boyd McCleary (dua dari
kiri) dan Pengarah Urusan MAHB, Datuk Seri Bashir Ahmad (kiri) di
Subang, semalam.
|
SUBANG 22 Nov. – Industri aeroangkasa Malaysia menerima pelaburan
langsung asing (FDI) dan domestik bernilai RM1.66 bilion melibatkan
pembangunan sejumlah 24 projek berkaitan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata,
daripada jumlah tersebut, sebanyak RM680 juta merupakan FDI, manakala
selebihnya (RM980 juta) adalah pelaburan domestik.
Setakat ini, terdapat 80 syarikat berkaitan aeroangkasa beroperasi
di Malaysia, katanya semasa merasmikan majlis pecah tanah pembinaan
kemudahan kilang pembuatan komponen pesawat milik Spirit AeroSystems
(Europe) Ltd. (Spirit Europe) di Pusat Aeroangkasa Antarabangsa
Malaysia (MIAC), sini hari ini.
“Syarikat-syarikat aeroangkasa yang terdiri daripada firma asing dan
tempatan itu menjalankan aktiviti-aktiviti pembuatan komponen,
peralatan mendarat dan sayap pesawat serta ‘cockpit’ bagi helikopter,”
katanya.
Menurut Najib, pembinaan kemudahan pembuatan oleh Spirit AeroSystems
di MIAC akan menyumbang kepada pembangunan MIAC sebagai hab aeroangkasa
terkemuka di rantau ini.
MIAC di sini meliputi kawasan seluas 480.8 hektar, merangkumi 285.2
hektar yang telah digunakan untuk menyedia kemudahan lapangan terbang,
sebanyak 78.4 hektar diperuntukan bagi kawasan infrastruktur dan
pengedaran, sebanyak 74.8 hektar sebagai kawasan sewaan dan sebanyak
42.4 hektar lagi untuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Bukan milik Singapura -- Gagal buktikan 3 pulau dituntut hak republik itu - Pegu |
|
 THE HAGUE, Belanda 22 Nov. – Malaysia memulakan pusingan kedua hujah
lisan kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih dengan menegaskan bahawa
Singapura gagal membuktikan, jauh sekali mengemukakan sebarang dokumen,
bahawa pulau tersebut milik republik itu.
Malah, Malaysia berhujah, kelewatan Singapura membuat tuntutan ke
atas dua bentuk maritim iaitu Middle Rocks dan South Ledge (13 tahun
selepas tuntutan Pulau Batu Putih) menunjukkan republik itu tidak
mempunyai hak ke atas ketiga-tiga pulau berkenaan.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menarik perhatian Mahkamah
Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini hari ini mengenai dakwaan Singapura
bahawa Malaysia bukan pemilik asal Pulau Batu Putih.
Berhubung isu itu, beliau mempertikaikan dakwaan Singapura bahawa
pulau tersebut menjadi milik British pada tahun 1847 hingga 1851 kerana
ketika British datang ke situ, ia adalah terra nullius (tiada pemilik).
Menurut Abdul Gani, Singapura tidak dapat mengemukakan sebarang bukti bahawa Pulau Batu Putih ketika itu adalah terra nullius.
“Singapura tidak membuktikan kesnya, sebaliknya kes republik itu
berdasarkan kepada kesimpulan mereka bahawa Pulau Batu Putih adalah
terra nullius,” hujah beliau di hadapan Naib Presiden ICJ, Hakim Awn
Shawkat Al-Khasawneh serta 15 hakim lain termasuk dua hakim ad hoc yang
dilantik oleh Malaysia dan Singapura.
Abdul Gani kemudian berhujah mengenai perkara kedua iaitu sikap
berdiam diri Singapura atau kegagalan republik itu mengemukakan dokumen
undang-undang yang tidak boleh dipertikaikan sehingga tahun 1978 untuk
menunjukkan bahawa Pulau Batu Putih adalah milik mereka.
|
|
|
|
|
|
| BERITA: Tiga juta rakyat Malaysia disahkan sakit mental |
|
 SUNGAI PETANI 22 Nov. - Sebanyak 16 peratus atau tiga juta daripada
26 juta penduduk di negara ini disahkan mengalami sakit mental dan
jumlah ini adalah sesuatu yang membimbangkan, kata Menteri Kesihatan,
Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
Katanya, penemuan data terbaru Kajian Kesihatan dan Morbiditi
Kebangsaan bagi tahun 2006 mendapati kes gangguan mental di kalangan
rakyat Malaysia meningkat sebanyak hampir 6 peratus berbanding kajian
yang dijalankan 10 tahun lepas.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 20.3 peratus adalah di kalangan kanak-kanak dan remaja berusia bawah 16 tahun.
“Antara faktor tekanan jiwa di kalangan remaja adalah kerana gagal
mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan, tekanan daripada
keluarga dan sekolah, serta tiada sokongan masyarakat,” kata beliau
kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kesihatan Mental Sedunia
peringkat kebangsaan di sini hari ini.
Katanya, ada di antara murid sekolah tertekan kerana tidak mendapat
semua A dalam peperiksaan dan kemudiannya mereka dihina dan dikatakan
bodoh serta tidak berguna untuk hidup, jadi mereka mengambil jalan
mudah untuk menyelesaikan masalah iaitu dengan membunuh diri.
|
|
|
|
|
|
| BERITA: Kecederaan Dr Faiz tak jejas peluang ke angkasa |
|
 KUALA LUMPUR 22 Nov. - Kecederaan serius tangan kiri angkasawan
kedua negara, Mejar Dr Faiz Khaleed, yang memerlukan lebih 100 jahitan,
tidak akan menjejaskan peluang beliau untuk ke angkasa lepas nanti,
kata Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun kecederaan Dr Faiz agak
serius dan beliau kehilangan banyak darah, tetapi beliau dijangka pulih
seperti sedia kala.
“Alhamdulillah pembedahan yang dilakukan berjaya menyelamatkan
tangannya dan doktor yang merawat Dr Faiz yakin beliau boleh
menjalankan tugas sebagai doktor pergigian dan angkasawan negara,”
katanya kepada pemberita selepas melawat Dr Faiz di Pusat Perubatan
Gleneagles di sini.
Malaysia mendapat tawaran daripada Agensi Angkasa Persekutuan Rusia
untuk menghantar angkasawan kedua negara ke angkasa lepas pada
penghujung tahun 2010 atau awal 2011.
Dr Faiz cedera di tangan kirinya akibat diserang oleh dua lelaki
yang cuba menyamun rakannya di hadapan rumahnya di Taman Mawar, Ampang
di sini, awal pagi semalam.
Apabila seorang daripada penyerang mengacukan parang ke leher
rakannya, Dr Faiz cuba membantu rakannya itu dengan menyerang lelaki
terbabit, menyebabkan lelaki itu menghayunkan parang ke muka Dr Faiz,
tetapi ditepis Dr Faiz dengan tangan kirinya.
|
|
|
|
|
|
| BERITA: ‘Budak biru’ perlu bantuan segera |
|

|
MUHAMMAD Alif Syahizan
pesakit jantung bersama ibu bapanya, Rokiah Awang dan Syahizan Awang
Kechik mohon bantuan orang ramai untuk membiayai perbelanjaan rawatan
perubatan di Institut Jantung Negara ketika ditemui di pejabat Utusan
di Seberang Jaya, Pulau Pinang, semalam.
|
BUTTERWORTH 20 Nov. – Seorang ibu yang tidak sanggup lagi melihat
penderitaan anaknya Muhammad Alif Syahizan, 2, penghidap penyakit
saluran jantung tersumbat, hari ini merayu orang ramai menghulurkan
bantuan bagi membiayai kos pembedahan kanak-kanak itu.
Ini kerana, suri rumah itu, Rokiah Awang dan suaminya, Syahizan
Awang Kechik, 30, bukan sahaja tidak mampu untuk membiayai kos
pembedahan sebanyak RM20,000 malah tarikh untuk pendaftaran pembedahan
juga semakin suntuk iaitu pada 12 Disember ini.
Rokiah memberitahu, keadaan kesihatan anaknya semakin kronik
apabila sering berubah menjadi pucat manakala wajah, tangan serta
kakinya bertukar kebiru-biruan akibat masalah itu.
‘‘Keadaannya semakin kritikal. Muhammad Alif mesti mengalami demam
beberapa hari setiap bulan dan setiap hari pula anggota badannya mesti
menjadi biru beberapa ketika akibat masalah itu,” katanya kepada Utusan
Malaysia di sini hari ini.
Rokiah dari Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah berkata, anak
tunggalnya itu juga sering menangis menahan kesakitan di bahagian
jantung terutama pada waktu malam dan mengalami sawan sekiranya banyak
bergerak atau aktif bermain.
|
|
|
|
|
|
| BERITA: Sistem rekod kehadiran pelajar guna MyKad diperkenalkan |
|
 PORT DICKSON 20 Nov. – Perkhidmatan SMS Sekolah yang dibangunkan
oleh Mypressto.com Sdn. Bhd. yang antaranya berperanan mengekang
masalah disiplin pelajar, kini dilengkapi ciri tambahan iaitu
merekodkan kehadiran menggunakan MyKad.
Ini bermakna, pelajar hanya perlu menyentuh MyKad pada mesin
pengimbas sejurus tiba di sekolah bagi membolehkan ibu bapa yang
melanggan perkhidmatan itu dengan bayaran RM3 sebulan mengetahui status
kehadiran anak mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
Ketua Pegawai Operasi Mypressto.com, Junairi Jauhari berkata,
pelajar terbabit juga perlu mengimbas MyKad masing-masing apabila
pulang dari sekolah dan ibu bapa mereka pula akan menerima makluman SMS
mengenai perkara itu.
Katanya, ia juga mengurangkan beban guru yang terpaksa menanda
kehadiran murid dalam perisian program SMS Sekolah dan juga buku
kehadiran.
“Ini merupakan penambahbaikan khidmat SMS Sekolah yang kini
digunakan oleh 1,700 buah sekolah di seluruh negara, ciri-ciri tambahan
akan diperkenalkan pada setiap masa selari dengan perkembangan pesat
teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).
“Sebagai permulaan, sebanyak 10 buah sekolah di seluruh negara akan
dilengkapi dengan sistem ini, kita akan tempatkan empat buah mesin
pengimbas yang dipantau kamera litar tertutup (CCTV) pada setiap
sekolah,” katanya di sini hari ini.
|
|
|
|
|
|
| BERITA: Kecurian pengenalan diri bimbangkan ramai rakyat |
|
 PETALING JAYA 20 Nov. - Kaji selidik oleh sebuah syarikat teknologi
maklumat antarabangsa baru-baru ini menunjukkan bahawa tiga aspek
berkaitan keselamatan diri merupakan perkara yang paling membimbangkan
rakyat Malaysia.
Kaji selidik oleh Unisys Security Index itu mendedahkan bahawa
kegiatan mencuri pengenalan diri, penipuan kewangan dan jangkitan
penyakit merupakan tiga perkara yang paling membimbangkan mereka.
Naib Presiden dan Pengurus Besar Unisys Asia South, Scott Whyman
berkata, kaji selidik itu juga menunjukkan bahawa satu lagi perkara
yang menjadi kebimbangan utama rakyat negara ini ialah keselamatan
penerbangan.
Katanya, kaji selidik itu dibuat dari 15 hingga 30 September dan melibatkan 1,016 responden berusia antara 18 dan 64 tahun.
Beliau berkata, kira-kira 78 peratus responden amat bimbang tentang
kecurian pengenalan diri, 74 peratus tentang penipuan kewangan terutama
perbuatan mencuri maklumat peribadi dalam kad kredit dan kad debit,
manakala 72 peratus lagi tentang jangkitan wabak.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Keanggotaan suruhanjaya klip video ke Kabinet |
|
 KUALA LUMPUR 19 Nov. - Cadangan keanggotaan suruhanjaya diraja yang
akan menyiasat skandal klip video seorang peguam akan dibentangkan pada
mesyuarat Kabinet Rabu ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(JPM), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.
Beliau berkata, turut dibentangkan untuk perbincangan Jemaah Menteri nanti ialah bidang kuasa suruhanjaya tersebut.
“Buat masa ini, tiada ada maklumat lagi. Semua akan dibawa untuk
perbincangan dan diketahui pada mesyuarat Kabinet Rabu ini,” katanya
hari ini.
Nazri adalah seorang daripada tiga menteri yang dilantik oleh
Perdana Menteri Jumaat lepas untuk meneliti laporan yang disiapkan oleh
panel khas siasatan klip video itu yang mengandungi rakaman perbualan
telefon, kononnya antara seorang peguam terkenal dengan seorang yang
dikatakan hakim kanan berkaitan urusan pelantikan hakim.
Dua menteri lain ialah Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan,
Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri
Radzi Sheikh Ahmad.
|
|
|
|
|
|
| BERITA: Murid kecewa keputusan UPSR dipercayai bunuh diri |
|
 NIBONG TEBAL 18 Nov — Dalam kegembiraan murid-murid dengan kejayaan
cemerlang mereka dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun
ini, terdapat juga murid yang sedih dengan keputusan mereka yang tidak
memuaskan.
Inilah yang dialami oleh S. Subashini, 12, dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sempah dekat sini.
Dia yang sebelum ini menjangkakan untuk mendapat 4 A hanya memperolehi 4 B, 2 C dan 1 D.
Semalam, tanpa diduga oleh keluarganya, Subashini dijumpai
tergantung pada jeriji tingkap bilik tidurnya dengan sehelai kain
selimut.
Anak kedua dari lima beradik ditemui oleh kakaknya selepas dia
didapati tidak keluar bermain-main dengan adik beradiknya yang lain.
“Pagi itu dia macam biasa, makan bersama kami, kemudian dia tengok televisyen dan bermain-main dengan adik-adiknya.
“Kira-kira pukul 1.40 petang, kakak dia masuk bilik dan nampak dia
tergantung dengan kain selimut di tingkap. Tapi masa itu dia masih
bernyawa lagi lalu kami terus bawa dia ke Hospital Sungai Bakap,” kata
bapanya G. Sivakumar, 36, di rumahnya di kuaters Perbadanan Bekalan Air
Pulau Pinang (PBAPP) di Changkat, Sungai Jawi di sini hari ini.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Abdullah cabar MB Terengganu bawa nelayan keluar dari kemiskinan |
|
 SETIU 18 Nov — Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mencabar
Menteri Besar, Datuk Idris Jusoh agar membuat satu perancangan teliti
bagi meningkatkan ekonomi nelayan Terengganu sekaligus membawa mereka
keluar daripada belenggu kemiskinan.
Perdana Menteri, yang dalam rangka lawatan kerja sehari di
Terengganu hari ini berkata, pendapatan nelayan di Terengganu kini
tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan rumah sehingga mereka
dikategorikan golongan miskin.
“Saya beri cabaran kepada Idris (Menteri Besar) sebab nelayan di
Terengganu dianggap kumpulan miskin,” katanya ketika berucap merasmikan
Program Skim untuk Kesejahteraan Petani (Sutratani) di sini.
Melihat program hari ini, Abdullah berkata, beliau dapat memahami
bagaimana Idris cuba membawa kemajuan dalam bidang pertanian agar
golongan miskin dapat meningkatkan taraf hidup mereka.
Perdana Menteri berkata, beliau melihat bagaimana ternakan ikan
Kerapu bermutu tinggi boleh dijalankan secara komersil dan memberikan
keuntungan kerana nilainya yang tinggi di pasaran antarabangsa.
Abdullah berkata ternakan ikan Kerapu memberi peluang baik kepada
nelayan terutama semasa musim tengkujuh dan laut bergelora seperti
sekarang menyukarkan nelayan keluar ke laut.
|
|
|
|
|
|
| BERITA: UPSR: 5A bukan jaminan ke asrama penuh |
|
 KUALA KANGSAR 17 Nov. – Kejayaan 48,400 calon memperoleh gred A
dalam semua mata pelajaran pada peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah
Rendah (UPSR) tahun ini belum menjamin tempat mereka di sekolah
berasrama penuh (SBP).
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom menjelaskan, ini
kerana kecemerlangan akademik semata-mata tidak mencukupi untuk ke SBP
malah setiap calon juga mesti cemerlang dalam aktiviti kokurikulum.
‘‘Memang saya jangka akan berlaku satu persaingan hebat bagi
mendapatkan tempat ke SBP kali ini kerana jumlah yang dapat 5A terlalu
ramai.
‘‘Bagaimanapun, kita sudah ada syarat tertentu yang perlu dipenuhi oleh calon jika mereka mahu masuk ke mana-mana SBP,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis
penyerahan buku rujukan sempena Kempen Meningkatkan Ilmu Pengetahuan di
Kalangan Pelajar Sekolah Rendah Luar Bandar peringkat negeri Perak di
sini hari ini.
Majlis berkenaan dianjurkan oleh Chemical Company of Malaysia Berhad
(CCM) yang menaja buku terbitan Utusan Publications & Distributors
bernilai RM27,000 untuk diedarkan ke sembilan buah sekolah luar bandar
di negeri ini.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: PM patut arah polis lebih serius banteras jenayah |
|
KUALA LUMPUR, 18 Nov (Hrkh) - Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub
meminta Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan
pihak polis memberikan tumpuan yang lebih serius kepada pembanterasan
jenayah dan bukan memerangi kegiatan-kegiatan pembangkang yang
diizinkan oleh Perlembagaan Malaysia.
"Apa yang berlaku sekarang, kita lihat lebih banyak tumpuan
diberikan kepada tindakan memerangi kegiatan-kegiatan pembangkang yang
tidak disenangi parti pemerintah walaupun kegiatan-kegiatan itu tidak
bertentangan dengan perlembagaan," katanya.
Salahuddin juga meminta Perdana Menteri yang juga Menteri
Keselamatan Dalam Negeri tidak mempersalahkan kaedah laporan media
mengenai kejadian jenayah yang tinggi di negara ini sebaliknya
mengambil tindakan proaktif dengan meletakkan jawatan kerana semakin
ketara beliau tidak kelihatan mampu mengendalikan soal keselamatan
dalam negara yang semakin diancam jenayah.
"Dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini
Perdana Menteri berkata, cara penyampaian berita secara dramatik telah
menggambarkan seolah-olah negara ini tidak lagi selamat.
|
|
|
|
|
|
| BERITA: Awang Sariyan pemegang pertama Kursi Melayu di China |
|
 BEIJING 16 Nov. - Tokoh bahasa, Prof Dr Awang Sariyan, dilantik
sebagai pemegang pertama Kursi Melayu di Universiti Pengajian Asing
Beijing (BSFU) mulai tahun depan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed yang kini berada di
China mengesahkan pelantikan itu ketika melawat BSFU semalam.
“Dr Awang dijangka tiba di Beijing Januari depan dan ini akan
memantapkan hubungan BSFU dengan dunia akademik Malaysia serta membantu
perkembangan Bahasa Melayu di China,” kata Mustapa.
BSFU yang ditubuhkan 66 tahun lepas adalah pusat utama pengajian
bahasa asing di China dan telah memulakan kursus Bahasa Melayu sejak
1961 dan Pusat Pengajian Melayu pada 2005.
“Kami menunggu-nunggu pelantikan ini selama 10 tahun. BSFU membuat
cadangan Kursi Melayu kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjawat
Menteri Pendidikan Malaysia pada tahun 1996,” kata pengarah Pusat
Pengajian Melayu Prof Wu Zong Yu.
Dr Awang, yang dilahirkan di Pontian, Johor, pada Oktober 1953 dan
kini professor di Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Malaya, akan
bersama BSFU untuk tempoh dua tahun.
Pusat itu juga mempunyai seorang pakar dari Dewan Bahasa dan
Pustaka, Norshabihah Ahmad, dan 47 penuntut tempatan yang mempelajari
kursus empat tahun sebelum dianugerahi ijazah pengajian Melayu.
|
|
|
|
|
|
|
 THE HAGUE, Belanda 15 Nov. – Singapura hanya pengendali Rumah Api
Horsburgh dan tidak lebih daripada itu, hujah Profesor James Crawford
di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada hari ketiga pusingan
pertama hujah lisan Malaysia.
Beliau menegaskan, semua aktiviti yang dijalankan oleh British dan
Singapura berhubung pengendalian rumah api di situ tidak membuktikan
bahawa republik itu mempunyai hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih.
Katanya, semua aktiviti yang dijalankan oleh Singapura sebelum
timbulnya pertikaian, seperti yang disimpulkan oleh pakar-pakar, sama
ada bersesuaian dengan fungsi republik itu sebagai pengendali rumah api
atau tindakan yang sememangnya perlu dilakukan oleh mereka.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Middle Rocks, South Ledge juga milik Malaysia |
|
 THE HAGUE, Belanda 15 Nov. – Tindakan Singapura menuntut hak
kedaulatan ke atas Middle Rocks dan South Ledge 13 tahun selepas Pulau
Batu Putih hanya bertujuan menyokong kes mereka, hujah Profesor Nico
Schrijver.
Beliau memberitahu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini,
tuntutan tersebut sebenarnya tidak relevan kerana kedua-dua bentuk batu
itu bukan gugusan Pulau Batu Putih seperti yang didakwa oleh Singapura
sepanjang hujah lisan republik itu minggu lepas.
Katanya, baik dari sudut geologi, geomorfologi, hidrografi,
pelayaran mahupun undang-undang antarabangsa, ketiga-tiga pulau batu
itu kekal berasingan dan merupakan bentuk maritim yang berbeza.
“Singapura tidak boleh menuntut hak kedaulatan ke atas Middle Rocks
dan South Ledge semata-mata berdasarkan tuntutan mereka ke atas Pulau
Batu Putih.
“Ia (Singapura) mesti menunjukkan bahawa mereka mempunyai hak kedaulatan ke atas setiap bentuk maritim itu secara berasingan.
|
|
|
|
|
|
|
 THE HAGUE, Belanda 15 Nov. – British tidak pernah menzahirkan niat
untuk mendapatkan hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih ketika
memohon kebenaran daripada Sultan Johor untuk membina dan mengendalikan
rumah api di situ kira-kira 150 tahun lalu.
Profesor Elihu Lauterpacht berhujah, walaupun Singapura mendakwa
kehadiran British di pulau itu pada tahun 1847 hingga 1851 menunjukkan
ia mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih, namun republik itu
gagal mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan tersebut.
Katanya, tujuan sebenar British berada di Pulau Batu Putih amat
jelas iaitu bagi membina rumah api serta berperanan sebagai pengendali
kemudahan tersebut.
Menurut beliau, ia tidak ada kena-mengena dengan hasrat British untuk mendapatkan hak kedaulatan di situ.
Perkara itu, kata Lauterpacht, dibuktikan satu persatu bermula dari
surat pertama hasrat British membina rumah api iaitu pada tahun 1844
hinggalah kepada pemilihan Pulau Batu Putih sebagai lokasi muktamad
iaitu dua tahun selepas itu.
Malah, hujah beliau, surat Sultan dan Temenggung Johor pada tahun
1844 jelas menunjukkan bahawa Johor memberi kebenaran kepada British
untuk membina rumah api di kawasan berhampiran Romania atau
kawasan-kawasan yang bersesuaian.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: "Polis berkursus di London tapi jalani tugas ala-Burma!" |
|
Perhimpunan 100,000 rakyat pada 10 Nov lalu bukan sahaja meninggalkan
kenangan manis yang tidak mudah dilupakan, bahkan ia bakal tercatat sebagai
salah satu tarikh besar dalam perkembangan politik negara. Biarpun diugut
dan diancam oleh Perdana Menteri sendiri, rakyat dari segenap pelosok
negara tetap membanjiri Kuala Lumpur. Ramai tersekat dalam kesesakan lalu
lintas yang sengaja dirancang pihak polis, manakala ada juga "dihalau"
balik.
Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur
perhimpunan bersejarah itu, mempunyai pandangan tersendiri, seperti yang
dijelaskan kepada wartawan Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN dan ROY RASUL, pada
pagi 12 Nov lalu.
HARAKAH: Apa yang saudara boleh rumuskan tentang perhimpunan aman
rakyat bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil yang dianjur oleh
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), 10 November lalu?
MOHAMAD SABU: Saya melihat rakyat sudah mulai yakin tentang tuntutan kita
selama ini iaitu perlu dipulihkan demokrasi dan keadilan dalam pilihan raya
mesti diperolehi semula.
Pada peringkat awal menggerakan perhimpunan ini, kita mengadakan penerangan
lebih kurang satu tahun setengah yang lalu, rakyat masih melihat bahawa
kita kalah dalam pilihan raya 2004 kerana kita bekerja tidak cukup kuat
dan dengan itu perlu dibuat post-mortem, ada yang menyebut sebagai islah.
Ya, itu betul dan kita tidak nafikan, tetapi rakyat melihat sekarang dari
sudut ketempangan daftar pemilih, penipuan undi pos dan yang paling utama
lagi yang perlu terus diperjuangkan ialah akses kita kepada media. Kalau
badan antarabangsa meletakkan kebebasan media di Malaysia di tempat ke-124,
saya tidak yakin langsung buat masa sekarang untuk kita merubah pemerintah
melalui pilihan raya.
Rakyat umumnya begitu ketandusan maklumat. Walaupun begitu, ada dua
kategori yang berbeza rakyat Malaysia. Masyarakat Tionghua, maklumatnya
agak lebih kerana mereka mempunyai 13 akhbar di peringkat nasional. Orang
Melayu hanya ada dua iaitu Utusan Malaysia dan Berita Harian di
peringkat nasional.Kedua-duanya dikuasai sepenuhnya Umno-BN. Harakah amat
terhad pengedaran dan kekerapan. Suara Keadilan langsung tiada permit.
Laman web, blog pula banyak diakses kebanyakannya masyarakat bandar.
|
|
|
|
|
|
|
 KUALA LUMPUR 15 Nov – Tiga ahli Jawatankuasa Induk Gabungan Pilihan
Raya Bersih dan Adil (BERSIH) hari ini dipanggil untuk memberi
keterangan di Jabatan Jenayah Komersial di sini berhubung demonstrasi
haram yang diadakan di sini 10 November lalu.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sivarasa Rasiah;
Setiausaha Biro Antarabangsa DAP, Ronnie Liu dan Ahli Jawatankuasa Pas,
Dr. Syed Azman Nawawi tiba di pekarangan pejabat Jabatan Jenayah
Komersial kira-kira pukul 10.30 pagi bersama peguam masing-masing.
Kesemua mereka diambil keterangan selama hampir dua jam secara
berasingan oleh Pegawai Penyiasat Bahagian Jenayah Perdagangan, Asisten
Supritendan Amran Md. Jusin.
Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pertubuhan.
|
|
|
|
|
|
|
 Persetujuan 150 tahun lalu mengenai Pulau Batu Puteh diubah secara radikal
KUALA LUMPUR: Malaysia semalam memulakan hujah di Mahkamah
Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung isu tuntutan Singapura ke atas
Pulau Batu Puteh, dengan mempersoalkan tindakan republik itu yang jauh
menyimpang daripada asas persetujuan antara Kesultanan Johor dan
British sejak 150 tahun lalu.
KEMUKA
HUJAH: Dari kiri, Syed Hamid, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail;
Duta Besar Malaysia Ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin dan Abdul
Kadir membentang fakta pada hari pertama Malaysia menyampaikan hujah
pada perbicaraan ke atas kedaulatan Pulau Batu Puteh, Middle Rocks dan
South Ledge yang terletak di Perairan Pantai Johor, semalam.
|
|
|
|
|
|
| |