|
|
| ISU SEMASA: Penyokong Hindraf ingkari perintah mahkamah, teruskan perhimpunan |
|
 KUALA LUMPUR 25 Nov — Para penyokong Hindu Rights Action Force
(Hindraf) hari ini mengingkari perintah mahkamah dengan mengadakan
perhimpunan di persimpangan antara Jalan Ampang dan Jalan Tun Razak
awal hari ini.
Beribu-ribu penyokong kumpulan itu berhimpun sejak 6.30 pagi
berhampiran kompleks membeli-belah Plaza City Square untuk berarak ke
Suruhanjaya Tinggi British di Jalan Ampang, kira-kira 100 meter dari
situ, bagi menyerahkan petisyen mengenai dakwaan kononnya masyarakat
India di negara ini dipinggirkan.
Beberapa jalan yang menghala ke tempat perhimpunan itu ditutup.
Pada Khamis, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan perintah
melarang lima pemimpin Hindraf dan penyokong mereka daripada
menganjurkan atau menyertai perhimpunan hari ini di ibu kota.
Kelima-lima mereka ialah P. Uthayakumar, adik lelakinya Waythamoorthy, M. Manoharan, V.S. Ganapathi Rao dan R. Kengadharan.
Polis tidak memberikan kebenaran bagi mengadakan perhimpunan itu kerana bimbangkan keselamatan awam.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Tindakan tegas terhadap pihak hasut sertai perhimpunan haram esok |
|
 KUANTAN 24 Nov — Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana
pihak yang menghasut orang ramai termasuk melalui khidmat pesanan
ringkas (SMS) bagi menyertai perhimpunan yang dijadual diadakan di
depan bangunan Suruhanjaya Tinggi Britian di Kuala Lumpur, esok.
Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow juga
menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan anjuran
Hindu Rights Action Force (Hindraf) itu kerana kerajaan telah
memberikan nasihat dan amaran.
“Jangan cuba melanggari undang-undang, kalau mereka masih nak
jayakan perhimpunan ini, maka polis kena menjalankan tugas,” katanya
kepada pemberita selepas melawat Pusat Khidmat Masyarakat Dewan
Undangan Negeri Tanjung Lumpur di sini hari ini.
Beliau mengulas rancangan Hindraf untuk mengadakan perhimpunan di
depan Suruhanjaya Tinggi Britian di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada
Ahad untuk menyerahkan petisyen yang mengandungi 100,000 tandatangan
kepada Ratu Elizabeth II.
Ketika ditanya sama ada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan
dikenakan terhadap pihak yang terlibat dalam perhimpunan itu, Fu
berkata, akta itu hanya akan digunakan sebagai jalan terakhir.
Kerajaan tidak menggunakan akta tersebut sewenang-wenangnya kecuali
sesuatu tindakan itu menganggu-gugat keselamatan negara, katanya.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Pemimpin Hindraf dituduh menghasut selepas siasatan rapi - Abdullah |
|
 KAMPALA 24 Nov — Polis telah memantau aktiviti tiga pemimpin Hindu
Rights Action Force (Hindraf) bagi tempoh tertentu sebelum menghadapkan
mereka ke mahkamah semalam mengikut Akta Hasutan, kata Perdana Menteri,
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.
“Mereka dianggap telah melakukan perkara yang melanggar Akta
Hasutan dan kita perlu mengambil tindakan...ia bukan kerana mereka
merancang mengadakan perhimpunan di depan Suruhanjaya Tinggi Britian
(esok),” katanya.
Perdana Menteri berkata, beliau dimaklumkan bahawa polis telah
memantau aktiviti mereka termasuk merekodkan ucapan dan kenyataan
mereka untuk tempoh yang agak lama.
Abdullah, yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri berkata
demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat hari pertama
Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di sini.
Pemimpin Hindraf berkenaan P. Uthayakumar, adiknya, Waythamoorthy,
dan V.S. Ganapathi Rao dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang mengikut
Akta Hasutan.
Ketiga-tiga mereka dituduh melafazkan perkataan berunsur hasutan semasa berucap di Batang Berjuntai pada 16 November.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Jangan terima memorandum demonstrasi jalanan |
|
 PUTRAJAYA 23 Nov. – Pergerakan Pemuda UMNO menggesa jabatan dan
agensi kerajaan supaya tidak menerima memorandum yang dihantar oleh
kumpulan tertentu melalui kaedah-kaedah yang boleh menjejaskan
kestabilan negara.
Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, adalah tidak
salah sekiranya memorandum itu dihantar kepada jabatan dan agensi
kerajaan, namun ia perlu dilakukan dengan cara serta kaedah yang betul
bukan melalui demonstrasi jalanan dan perhimpunan.
‘‘Jika berterusan begini, dalam keadaan kita bertolak-ansur dan telus, ini perlu dihentikan.
‘‘Di mana kita hendak letakkan had, kita mahu bertolak-ansur dalam
erti kata tidak mengapa, kita mahu suara anda didengari tetapi jika ia
membawa kepada demonstrasi jalanan dan menjejaskan imej Malaysia di
luar negara, saya fikir kita tidak perlu terima (memorandum),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Anugerah
Sekolah Cemerlang dan Anugerah Kualiti Kementerian Pelajaran, di sini,
hari ini.
Hishammuddin mengulas mengenai perhimpunan Hindu Rights Action Force
(Hindraf) yang dirancang diadakan di depan pejabat Suruhanjaya Tinggi
British, Kuala Lumpur, Ahad ini.
Menurut beliau, penyerahan memorandum perlu dilakukan dengan cara
yang betul dan tidak menyentuh mengenai isu agama atau perkauman.
Katanya, jika dengan menyerahkan memorandum itu akan menjejaskan
kestabilan negara maka beliau merasakan kumpulan itu tidak jujur dalam
menyuarakan kebimbangan mereka.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Hindari himpunan Hindraf -- * Polis peroleh perintah mahkamah * Tiga peguam dita |
|
 KUALA LUMPUR 23 Nov. – Polis memperoleh perintah mahkamah untuk
melarang orang ramai daripada hadir, berkumpul atau mengambil bahagian
dalam perhimpunan yang dijadual diadakan di depan bangunan Suruhanjaya
Tinggi British, Jalan Ampang di sini Ahad ini.
Perintah di bawah Seksyen 98 Kanun Tatacara Jenayah itu diperoleh
daripada Mahkamah Majistret Kuala Lumpur oleh Ketua Polis Daerah
Cheras, Asisten Komisioner (ACP) Amir Mohd. Hashim petang semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, polis turut menahan tiga orang peguam
termasuk Pengerusi Hindu Rights Action Force (Hindraf), P. Waytha
Moorthy tengah hari ini di bawah Akta Hasutan 1948 kerana dipercayai
terlibat memberi ceramah berbaur hasutan kepada orang ramai di Kuala
Selangor, Selangor baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar memberitahu, perintah
mahkamah itu diperoleh polis secara ex-parte iaitu dengan segera kerana
kesuntukan masa memandangkan perhimpunan anjuran Hindraf itu dijangka
diadakan pada 25 November ini.
‘‘Perintah ini bertujuan menghalang perbuatan yang boleh mengganggu
ketenteraman awam atau mendatangkan bahaya kepada nyawa, keselamatan
manusia seperti rusuhan atau pergaduhan sekiranya perhimpunan itu
diadakan,’’ katanya.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Industri aeroangkasa terima pelaburan RM1.66 bilion |
|


|
Najib Tun Razak
bertanyakan sesuatu kepada Neil McManus (kanan sekali) mengenai projek
pembinaan kemudahan kilang pembuatan komponen aeroangkasa sambil
diperhatikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Britian, Boyd McCleary (dua dari
kiri) dan Pengarah Urusan MAHB, Datuk Seri Bashir Ahmad (kiri) di
Subang, semalam.
|
SUBANG 22 Nov. – Industri aeroangkasa Malaysia menerima pelaburan
langsung asing (FDI) dan domestik bernilai RM1.66 bilion melibatkan
pembangunan sejumlah 24 projek berkaitan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata,
daripada jumlah tersebut, sebanyak RM680 juta merupakan FDI, manakala
selebihnya (RM980 juta) adalah pelaburan domestik.
Setakat ini, terdapat 80 syarikat berkaitan aeroangkasa beroperasi
di Malaysia, katanya semasa merasmikan majlis pecah tanah pembinaan
kemudahan kilang pembuatan komponen pesawat milik Spirit AeroSystems
(Europe) Ltd. (Spirit Europe) di Pusat Aeroangkasa Antarabangsa
Malaysia (MIAC), sini hari ini.
“Syarikat-syarikat aeroangkasa yang terdiri daripada firma asing dan
tempatan itu menjalankan aktiviti-aktiviti pembuatan komponen,
peralatan mendarat dan sayap pesawat serta ‘cockpit’ bagi helikopter,”
katanya.
Menurut Najib, pembinaan kemudahan pembuatan oleh Spirit AeroSystems
di MIAC akan menyumbang kepada pembangunan MIAC sebagai hab aeroangkasa
terkemuka di rantau ini.
MIAC di sini meliputi kawasan seluas 480.8 hektar, merangkumi 285.2
hektar yang telah digunakan untuk menyedia kemudahan lapangan terbang,
sebanyak 78.4 hektar diperuntukan bagi kawasan infrastruktur dan
pengedaran, sebanyak 74.8 hektar sebagai kawasan sewaan dan sebanyak
42.4 hektar lagi untuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Bukan milik Singapura -- Gagal buktikan 3 pulau dituntut hak republik itu - Pegu |
|
 THE HAGUE, Belanda 22 Nov. – Malaysia memulakan pusingan kedua hujah
lisan kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih dengan menegaskan bahawa
Singapura gagal membuktikan, jauh sekali mengemukakan sebarang dokumen,
bahawa pulau tersebut milik republik itu.
Malah, Malaysia berhujah, kelewatan Singapura membuat tuntutan ke
atas dua bentuk maritim iaitu Middle Rocks dan South Ledge (13 tahun
selepas tuntutan Pulau Batu Putih) menunjukkan republik itu tidak
mempunyai hak ke atas ketiga-tiga pulau berkenaan.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menarik perhatian Mahkamah
Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini hari ini mengenai dakwaan Singapura
bahawa Malaysia bukan pemilik asal Pulau Batu Putih.
Berhubung isu itu, beliau mempertikaikan dakwaan Singapura bahawa
pulau tersebut menjadi milik British pada tahun 1847 hingga 1851 kerana
ketika British datang ke situ, ia adalah terra nullius (tiada pemilik).
Menurut Abdul Gani, Singapura tidak dapat mengemukakan sebarang bukti bahawa Pulau Batu Putih ketika itu adalah terra nullius.
“Singapura tidak membuktikan kesnya, sebaliknya kes republik itu
berdasarkan kepada kesimpulan mereka bahawa Pulau Batu Putih adalah
terra nullius,” hujah beliau di hadapan Naib Presiden ICJ, Hakim Awn
Shawkat Al-Khasawneh serta 15 hakim lain termasuk dua hakim ad hoc yang
dilantik oleh Malaysia dan Singapura.
Abdul Gani kemudian berhujah mengenai perkara kedua iaitu sikap
berdiam diri Singapura atau kegagalan republik itu mengemukakan dokumen
undang-undang yang tidak boleh dipertikaikan sehingga tahun 1978 untuk
menunjukkan bahawa Pulau Batu Putih adalah milik mereka.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Keanggotaan suruhanjaya klip video ke Kabinet |
|
 KUALA LUMPUR 19 Nov. - Cadangan keanggotaan suruhanjaya diraja yang
akan menyiasat skandal klip video seorang peguam akan dibentangkan pada
mesyuarat Kabinet Rabu ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(JPM), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.
Beliau berkata, turut dibentangkan untuk perbincangan Jemaah Menteri nanti ialah bidang kuasa suruhanjaya tersebut.
“Buat masa ini, tiada ada maklumat lagi. Semua akan dibawa untuk
perbincangan dan diketahui pada mesyuarat Kabinet Rabu ini,” katanya
hari ini.
Nazri adalah seorang daripada tiga menteri yang dilantik oleh
Perdana Menteri Jumaat lepas untuk meneliti laporan yang disiapkan oleh
panel khas siasatan klip video itu yang mengandungi rakaman perbualan
telefon, kononnya antara seorang peguam terkenal dengan seorang yang
dikatakan hakim kanan berkaitan urusan pelantikan hakim.
Dua menteri lain ialah Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan,
Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri
Radzi Sheikh Ahmad.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Abdullah cabar MB Terengganu bawa nelayan keluar dari kemiskinan |
|
 SETIU 18 Nov — Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mencabar
Menteri Besar, Datuk Idris Jusoh agar membuat satu perancangan teliti
bagi meningkatkan ekonomi nelayan Terengganu sekaligus membawa mereka
keluar daripada belenggu kemiskinan.
Perdana Menteri, yang dalam rangka lawatan kerja sehari di
Terengganu hari ini berkata, pendapatan nelayan di Terengganu kini
tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan rumah sehingga mereka
dikategorikan golongan miskin.
“Saya beri cabaran kepada Idris (Menteri Besar) sebab nelayan di
Terengganu dianggap kumpulan miskin,” katanya ketika berucap merasmikan
Program Skim untuk Kesejahteraan Petani (Sutratani) di sini.
Melihat program hari ini, Abdullah berkata, beliau dapat memahami
bagaimana Idris cuba membawa kemajuan dalam bidang pertanian agar
golongan miskin dapat meningkatkan taraf hidup mereka.
Perdana Menteri berkata, beliau melihat bagaimana ternakan ikan
Kerapu bermutu tinggi boleh dijalankan secara komersil dan memberikan
keuntungan kerana nilainya yang tinggi di pasaran antarabangsa.
Abdullah berkata ternakan ikan Kerapu memberi peluang baik kepada
nelayan terutama semasa musim tengkujuh dan laut bergelora seperti
sekarang menyukarkan nelayan keluar ke laut.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: PM patut arah polis lebih serius banteras jenayah |
|
KUALA LUMPUR, 18 Nov (Hrkh) - Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub
meminta Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan
pihak polis memberikan tumpuan yang lebih serius kepada pembanterasan
jenayah dan bukan memerangi kegiatan-kegiatan pembangkang yang
diizinkan oleh Perlembagaan Malaysia.
"Apa yang berlaku sekarang, kita lihat lebih banyak tumpuan
diberikan kepada tindakan memerangi kegiatan-kegiatan pembangkang yang
tidak disenangi parti pemerintah walaupun kegiatan-kegiatan itu tidak
bertentangan dengan perlembagaan," katanya.
Salahuddin juga meminta Perdana Menteri yang juga Menteri
Keselamatan Dalam Negeri tidak mempersalahkan kaedah laporan media
mengenai kejadian jenayah yang tinggi di negara ini sebaliknya
mengambil tindakan proaktif dengan meletakkan jawatan kerana semakin
ketara beliau tidak kelihatan mampu mengendalikan soal keselamatan
dalam negara yang semakin diancam jenayah.
"Dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini
Perdana Menteri berkata, cara penyampaian berita secara dramatik telah
menggambarkan seolah-olah negara ini tidak lagi selamat.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Singapura cuma pengendali rumah api |
|
 THE HAGUE, Belanda 15 Nov. – Singapura hanya pengendali Rumah Api
Horsburgh dan tidak lebih daripada itu, hujah Profesor James Crawford
di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada hari ketiga pusingan
pertama hujah lisan Malaysia.
Beliau menegaskan, semua aktiviti yang dijalankan oleh British dan
Singapura berhubung pengendalian rumah api di situ tidak membuktikan
bahawa republik itu mempunyai hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih.
Katanya, semua aktiviti yang dijalankan oleh Singapura sebelum
timbulnya pertikaian, seperti yang disimpulkan oleh pakar-pakar, sama
ada bersesuaian dengan fungsi republik itu sebagai pengendali rumah api
atau tindakan yang sememangnya perlu dilakukan oleh mereka.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Middle Rocks, South Ledge juga milik Malaysia |
|
 THE HAGUE, Belanda 15 Nov. – Tindakan Singapura menuntut hak
kedaulatan ke atas Middle Rocks dan South Ledge 13 tahun selepas Pulau
Batu Putih hanya bertujuan menyokong kes mereka, hujah Profesor Nico
Schrijver.
Beliau memberitahu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini,
tuntutan tersebut sebenarnya tidak relevan kerana kedua-dua bentuk batu
itu bukan gugusan Pulau Batu Putih seperti yang didakwa oleh Singapura
sepanjang hujah lisan republik itu minggu lepas.
Katanya, baik dari sudut geologi, geomorfologi, hidrografi,
pelayaran mahupun undang-undang antarabangsa, ketiga-tiga pulau batu
itu kekal berasingan dan merupakan bentuk maritim yang berbeza.
“Singapura tidak boleh menuntut hak kedaulatan ke atas Middle Rocks
dan South Ledge semata-mata berdasarkan tuntutan mereka ke atas Pulau
Batu Putih.
“Ia (Singapura) mesti menunjukkan bahawa mereka mempunyai hak kedaulatan ke atas setiap bentuk maritim itu secara berasingan.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Tiada hasrat British miliki Bt. Putih |
|
 THE HAGUE, Belanda 15 Nov. – British tidak pernah menzahirkan niat
untuk mendapatkan hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih ketika
memohon kebenaran daripada Sultan Johor untuk membina dan mengendalikan
rumah api di situ kira-kira 150 tahun lalu.
Profesor Elihu Lauterpacht berhujah, walaupun Singapura mendakwa
kehadiran British di pulau itu pada tahun 1847 hingga 1851 menunjukkan
ia mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih, namun republik itu
gagal mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan tersebut.
Katanya, tujuan sebenar British berada di Pulau Batu Putih amat
jelas iaitu bagi membina rumah api serta berperanan sebagai pengendali
kemudahan tersebut.
Menurut beliau, ia tidak ada kena-mengena dengan hasrat British untuk mendapatkan hak kedaulatan di situ.
Perkara itu, kata Lauterpacht, dibuktikan satu persatu bermula dari
surat pertama hasrat British membina rumah api iaitu pada tahun 1844
hinggalah kepada pemilihan Pulau Batu Putih sebagai lokasi muktamad
iaitu dua tahun selepas itu.
Malah, hujah beliau, surat Sultan dan Temenggung Johor pada tahun
1844 jelas menunjukkan bahawa Johor memberi kebenaran kepada British
untuk membina rumah api di kawasan berhampiran Romania atau
kawasan-kawasan yang bersesuaian.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: "Polis berkursus di London tapi jalani tugas ala-Burma!" |
|
Perhimpunan 100,000 rakyat pada 10 Nov lalu bukan sahaja meninggalkan
kenangan manis yang tidak mudah dilupakan, bahkan ia bakal tercatat sebagai
salah satu tarikh besar dalam perkembangan politik negara. Biarpun diugut
dan diancam oleh Perdana Menteri sendiri, rakyat dari segenap pelosok
negara tetap membanjiri Kuala Lumpur. Ramai tersekat dalam kesesakan lalu
lintas yang sengaja dirancang pihak polis, manakala ada juga "dihalau"
balik.
Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur
perhimpunan bersejarah itu, mempunyai pandangan tersendiri, seperti yang
dijelaskan kepada wartawan Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN dan ROY RASUL, pada
pagi 12 Nov lalu.
HARAKAH: Apa yang saudara boleh rumuskan tentang perhimpunan aman
rakyat bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil yang dianjur oleh
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), 10 November lalu?
MOHAMAD SABU: Saya melihat rakyat sudah mulai yakin tentang tuntutan kita
selama ini iaitu perlu dipulihkan demokrasi dan keadilan dalam pilihan raya
mesti diperolehi semula.
Pada peringkat awal menggerakan perhimpunan ini, kita mengadakan penerangan
lebih kurang satu tahun setengah yang lalu, rakyat masih melihat bahawa
kita kalah dalam pilihan raya 2004 kerana kita bekerja tidak cukup kuat
dan dengan itu perlu dibuat post-mortem, ada yang menyebut sebagai islah.
Ya, itu betul dan kita tidak nafikan, tetapi rakyat melihat sekarang dari
sudut ketempangan daftar pemilih, penipuan undi pos dan yang paling utama
lagi yang perlu terus diperjuangkan ialah akses kita kepada media. Kalau
badan antarabangsa meletakkan kebebasan media di Malaysia di tempat ke-124,
saya tidak yakin langsung buat masa sekarang untuk kita merubah pemerintah
melalui pilihan raya.
Rakyat umumnya begitu ketandusan maklumat. Walaupun begitu, ada dua
kategori yang berbeza rakyat Malaysia. Masyarakat Tionghua, maklumatnya
agak lebih kerana mereka mempunyai 13 akhbar di peringkat nasional. Orang
Melayu hanya ada dua iaitu Utusan Malaysia dan Berita Harian di
peringkat nasional.Kedua-duanya dikuasai sepenuhnya Umno-BN. Harakah amat
terhad pengedaran dan kekerapan. Suara Keadilan langsung tiada permit.
Laman web, blog pula banyak diakses kebanyakannya masyarakat bandar.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Polis ambil keterangan 3 AJK BERSIH |
|
 KUALA LUMPUR 15 Nov – Tiga ahli Jawatankuasa Induk Gabungan Pilihan
Raya Bersih dan Adil (BERSIH) hari ini dipanggil untuk memberi
keterangan di Jabatan Jenayah Komersial di sini berhubung demonstrasi
haram yang diadakan di sini 10 November lalu.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sivarasa Rasiah;
Setiausaha Biro Antarabangsa DAP, Ronnie Liu dan Ahli Jawatankuasa Pas,
Dr. Syed Azman Nawawi tiba di pekarangan pejabat Jabatan Jenayah
Komersial kira-kira pukul 10.30 pagi bersama peguam masing-masing.
Kesemua mereka diambil keterangan selama hampir dua jam secara
berasingan oleh Pegawai Penyiasat Bahagian Jenayah Perdagangan, Asisten
Supritendan Amran Md. Jusin.
Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pertubuhan.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Singapura menyimpang jauh |
|
 Persetujuan 150 tahun lalu mengenai Pulau Batu Puteh diubah secara radikal
KUALA LUMPUR: Malaysia semalam memulakan hujah di Mahkamah
Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung isu tuntutan Singapura ke atas
Pulau Batu Puteh, dengan mempersoalkan tindakan republik itu yang jauh
menyimpang daripada asas persetujuan antara Kesultanan Johor dan
British sejak 150 tahun lalu.
KEMUKA
HUJAH: Dari kiri, Syed Hamid, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail;
Duta Besar Malaysia Ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin dan Abdul
Kadir membentang fakta pada hari pertama Malaysia menyampaikan hujah
pada perbicaraan ke atas kedaulatan Pulau Batu Puteh, Middle Rocks dan
South Ledge yang terletak di Perairan Pantai Johor, semalam.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Pas berkuasa kerana SPR adil |
|
 PASIR PUTEH 13 Nov. – Kerajaan Pas tidak mungkin boleh memerintah
begitu lama di Kelantan sekiranya benar dakwaan para pemimpin parti itu
bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak adil dalam melaksanakan
tanggungjawabnya.
Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Datuk Kamaruddin Md. Nor
menegaskan, dengan tuduhan pilihan raya tidak diadakan dengan adil bagi
mempengaruhi rakyat, Pas sepatutnya turut tidak mengakui kemenangan
mereka di negeri ini.
“Seramai 23 ahli Dewan Undangan Negeri dari parti Pas yang menduduki
kerusi itu dalam pilihan raya umum lalu, sepatutnya melepaskan kerusi
masing-masing sekiranya benar SPR tidak adil,” katanya kepada pemberita
di sini hari ini.
Anehnya, kata beliau, kerusi yang disandang selepas menerima undian
rakyat terus dipertahankan sehingga 18 tahun kerana kepentingan mereka,
walaupun pada masa yang sama mereka terus menerus memperlekehkan
kewibawaan SPR.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Balasubramanian ada SMS Abdul Razak, Altantuya - Saksi |
|
 SHAH ALAM 13 Nov. - Pemadanan data yang dilakukan terhadap rekod
transaksi telefon bimbit milik penyiasat persendirian, P.
Balasubramaniam menunjukkan bahawa dia ada membuat atau menerima
panggilan telefon serta khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan Abdul
Razak Abdullah Baginda dan Altantuya Shaariibuu sekitar Oktober tahun
lalu.
Ketua Jabatan Digital Forensik CyberSecurity Malaysia, Aswami
Fadillah Mohd. Ariffin, 36, memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam hari
ini, pemadanan data dilakukan olehnya melalui telefon bimbit jenis
Nokia 6600 bernombor 012-2409311 milik Balasubramaniam yang diserahkan oleh pihak polis kepadanya.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Rakyat mesti bersedia hadapi trend kenaikan harga minyak |
|
 TAPAH 12 Nov. - Masyarakat di negara ini perlu bersedia menghadapi
kesan daripada trend kenaikan harga minyak yang melanda seluruh dunia,
kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk
Mohd Shafie Apdal hari ini.
Beliau berkata, trend kenaikan harga minyak di pasaran dunia yang
memberi kesan kepada kemampuan rakyat, mesti dihadapi mana-mana
kerajaan dan parti politik di dunia termasuk negara-negara maju seperti
Amerika Syarikat, Jepun dan Eropah.
“Kadang-kala pihak tidak bertanggungjawab menyatakan ini (kenaikan
harga minyak) tidak sepatutnya berlaku, dan ini (harga minyak) tidak
sepatutnya naik. “Mana ada satu kerajaan dan pemimpin di dunia ini boleh kawal harga
minyak daripada naik termasuk Presiden Bush (AS) dan Perdana Menteri
United Kingdom, Gordon Brown,” katanya kepada pemberita selepas
menghadiri Jamuan Raya Muhibah Aidilfitri dan Deepavali Parlimen Tapah
di Dewan Merdeka di sini.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Jangan sertai perhimpunan haram di Batu Buruk malam esok |
|
 KUALA TERENGGANU 12 Nov. - Ketua Polis Terengganu, Datuk Ayub Yaakob
memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyertai sebarang
aktiviti ceramah dan perhimpunan haram anjuran sebuah parti pembangkang
yang dirancang diadakan di Batu Buruk di sini pada malam esok.
Beliau berkata, perhimpunan tersebut yang akan diadakan di tempat
yang sama berlakunya rusuhan pada 8 September lepas, tidak ada permit,
maka penganjur serta orang ramai yang didapati menyertainya boleh
dikenakan tindakan undang-undang.
“Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Abdul Manan Alwi ada
menerima permohonan daripada penganjur untuk mengadakan perhimpunan dan
ceramah di Batu Buruk pada malam esok, namun setelah kajian dan
penilaian dilakukan melibatkan segala aspek, kita dapati tempat
tersebut tidak sesuai untuk diadakan ceramah tersebut.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Khairy mungkin terlalu sibuk untuk baca cemuhan Kheng Yaik - Husam |
|
Abdul Halim Mohd Rashid Wed | Nov 07, 07 | 3:10:46 pm MYT
KUALA
LUMPUR, 7 Nov -Menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin mungkin
terlalu sibuk bersidang dalam Perhimpunan Agung Umno kali ini hingga
tidak sempat membaca cemuhan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk
Seri Dr Lim Kheng Yaik terhadap lembabnya kerajaan pimpinan bapa
mertuanya dalam membuat keputusan, kata Naib Presiden PAS Datuk Husam
Musa.
"Jika tidak, teruk Kheng Yaik dikerjakannya.
Silap haribulan, 'diberukkan' sebagaimana beliau 'memberukkan' bakal
peserta Himpunan Aman Bersih 10 November," kata beliau ketika mengulas
menteri-menteri kanan Barisan Nasional yang kelihatan berbeza arah
dengan Perdana Menteri.
"(Datuk Seri) Samy Vellu - Menteri
Kabinet Pak Lah merajuk - tak nak sambut Deepavali tahun ini. Tak ada
rumah terbuka pemimpin MIC Khamis ini - kata Samy (kenyataan tersebut
ditarik balik beberapa jam kemudian).
"Kheng Yaik, seorang
lagi Menteri Kabinet Pak Lah, tak kurang berani dan jantan. Hari ini,
beliau mengambil peluang menyelar dan membedal kerajaan secara
terbuka," kata Husam.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Lojing digondol diusaha petani luar |
|


|
GONDOL... Bukit Tanah
Tinggi Lojing yang gondol akibat kegiatan membuka tanah untuk tanaman
sayuran. Pemimpin Barisan Nasional Kelantan semalam mendakwa tanah di
kawasan itu telah diberikan kepada beberapa syarikat dari luar negeri
itu atas nama pertanian. – Bernama.
|
GUA MUSANG 11 Nov. – Kerajaan negeri Kelantan didakwa memberi
kelulusan kepada beberapa syarikat yang menggunakan petani dari luar
negeri ini untuk mengusahakan pertanian di Tanah Tinggi Lojing sejak
setahun lepas.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang, Bazlan Baharuddin mendakwa
kecuali projek diraja yang menempatkan pesara tentera, semua tanah lain
diusahakan secara besar-besaran oleh petani dari luar Kelantan.
“Setakat ini kerajaan negeri hanya cakap sahaja tetapi tidak mampu
memajukan tanah itu untuk rakyat Kelantan kecuali projek diraja itu,”
katanya ketika ditemui Bernama di sini semalam.
Bazlan yang membuat tinjauan ke kawasan itu berkata, hampir 100
peratus kawasan bekas tapak pembalakan itu diusahakan oleh petani luar
yang menggunakan pekerja asing dari Bangladesh, Myanmar dan Indonesia.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: 10 NoVeMBeR -DiaRi SeoRaNG RakYaT Di MaSJiD JaMeK |
|
http://ibnuzack.blogspot.com
10 Pagi,itu masa yang ditetapkan oleh teman-teman untuk kami menaiki LRT dari Sungai Besi menuju ke Masjid Jamek;salah satu tempat bermulanya perhimpunan anjuran gabungan NGO;Bersih.Perjalanan menaiki tren tidak sunyi daripada pemandangan polis-polis dan FRU yang siap bersedia dan berkawal hampir di setiap hentian,terutamanya yang berdekatan dengan kawasan perhimpunan.Memang serius Pak Lah kali ini,membuatkan hati penulis benar-benar ragu apa angka 100 ribu bisa menjadi kenyataan.Apatah lagi maklumat dari teman-teman mengatakan sekurang-kurangnya 4-5 buah bas dari Terengganu sahaja telah diarahkan pulang oleh Polis selain kawalan ketat di setiap pintu masuk lebuh raya sejak beberapa hari yang lalu.Itu belum lagi dicampur sekatan di bahagian Selatan dan 7 bas di perlis yang turut 'digendalakan'.Hati penulis terdetik."Ahh andai sekadar 10 ribu yang hadir,maka sudah ajaib".
10:30pagi penulis tiba di LRT Masjid Jamek.Ramai anggota keselamatan mula berkawal.Trak-trak FRU mula ditempatkan di kawasan yang strategik,menjadikan laluan lalu lintas mula terganggu.Team penulis mula berpecah kerana bukan sesuatu yang bijak untuk bergerak beramai-ramai dalam keadaan sebegini.Ramai SB mula dilihat berlegar-legar;ahh bukan sukar meneka identiti mereka lantaran sikap dan gaya mereka yang sudah ada patternnya yang tersendiri.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Rempit kuasai KL kerana polis penat sekat himpunan Bersih |
|
 Malang sungguh, sekitar 4000 anggota polis dikerahkan hanya untuk
menghalang, menyekat dan menahan sesiapa sahaja orang awam yang
menyertai himpunan aman anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil
(Bersih).
Lebih parah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebelum ini
menyatakan 4000 anggotanya akan dikerah bagi menyekat himpunan
anjuran Bersih yang dikatakan 'haram'.
lebih 30 orang ditahan dan dibebaskan lewat malam tadi, dan
inilah kerja utama polis semalam yang menyebabkan suasana Kuala
Lumpur menjadi sebuah 'Bandaraya Polis'.
Sekatan demi sekatan diadakan di setiap jalan masuk ke Kuala
Lumpur dari pelbagai arah, Utara, Selatan dan Timur menyebabkan
kesesakan luar biasa berlaku meskipun Sabtu adalah hari cuti.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Gelombang Kuning - Terciptanya Satu Sejarah |
|
Oleh Greenboc
Gelombang
Kuning - itulah namanya. 10 November 207 akan terpahat di dalam lipatan
sejarah negara ini sebagai satu kemenangan rakyat merobek kesombongan
dan keangkuhan Kerajaan UMNO/BN yang dari awal-awal telah berusaha
untuk menggagal perhimpunan keramat ini.
Langit persis merestui
dan mengasihani rakyat yang berhimpun, mencurahkan hujan rahmat
disamping membersihkan kotoran gas pemedih mata yang disemburkan oleh
anggota FRU ke arah mereka, sementara laluan ke Istana Negara sekalipun
sesak dengan lautan manusia, dipermudahkan jalannya oleh Allah s.w.t.
untuk peserta-peserta perhimpunan tiba menjunjung kasih ke bawah Duli
Yang Dipertuan Agong.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Kemenangan Gelombang Kuning Kemenangan Rakyat! |
|

Sambungan dari Bahagian 1
2.50 petang:
Polis mula menembakkan gas pemedih mata ke arah peserta gelombang
kuning di dalam Masjid Jalan India dan Masjied Jamek. Peserta di
sekitar Bangunan KWSP Jalan Raja Laut pula disembur dengan water canon
berisi asid.
10,000 Tiba Di Istana Negara
3.00 petang: Para peserta di sekitar bangunan KWSP diberi amaran supaya bersurai. Kalau tidak mereka akan ditangkap beramai-ramai.
3.20
petang: Sekumpulan 10,000 peserta gelombang kuning sudah tiba di
kawasan Istana Negara. Sementara itu, kelompok peserta yang dihalang
keluar daripada Masjid Jamek pula dilaporkan semakin lumpuh. FRU hampir
mengepung seluruh kawasan masjid.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: GAMBAR BERSIH |
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Zainuddin Tolak Dakwaan Al Jazeera Polis Bertindak Keras |
|
KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Menteri Penerangan Datuk Seri
Zainuddin Maidin menolak dakwaan stesen televisyen satelit Al Jazeera
bahawa polis telah bertindak keras terhadap petunjuk perasaan di sini
hari ini.
Beliau memberitahu stesen itu polis telah cuba menyuraikan tunjuk
perasaan dengan menyembur air kerana ia adalah perhimpunan haram,
tetapi setelah mereka enggan, polis membenarkan kumpulan itu berarak ke
Istana Negara untuk menyampaikan memorandum menuntut pilihan raya
bersih.
Polis telah berjaya mengendalikan tunjuk perasaan dengan baik,
katanya semasa ditemuramah secara langsung oleh stesen itu melalui
panggilan telefon di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai perhimpunan haram
anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil atau dikenali sebagai
"Bersih" yang dianjurkan oleh 26 badan bukan kerajaan dan disertai
parti pembangkang untuk menyerahkan memorandum berhubung beberapa
tuntutan mengenai proses pilihan raya di negara ini kepada Istana
Negara.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: Perhimpunan haram beri persepsi negatif |
|
 PEKAN 10 Nov. – Kedegilan penganjur untuk mengadakan perhimpunan
tanpa permit di ibu negara hari ini telah memberi persepsi negatif
kepada pihak luar terhadap masyarakat negara ini, kata, Datuk Seri
Najib Tun Razak.
Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan tersebut secara tidak
langsung membuka kesempatan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab
untuk terbabit dengan perilaku jenayah yang boleh mengganggu
ketenteraman awam.
“Saya difahamkan banyak pekedai berasa bimbang dan telah menutup
kedai mereka kerana bila ada perhimpunan seperti ini sudah tentu ada
juga mereka yang mengambil kesempatan untuk melakukan jenayah atau pun
merosakkan harta benda kepunyaan orang atau pun harta benda awam.
“Kesannya tidak baik kepada pandangan umum terhadap masyarakat kita,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Anak Permata Negara di Felda Chini Timur 3 di sini, hari ini.
|
|
|
|
|
|
| ISU SEMASA: PETIKAN DARI AL JAZEERA |
|
|
|
|
|
|
| |